9 Oktober 2016 - 13:18
Dunia Islam Perlukan Persatuan Antara Sunni Dan Syiah: Presiden Rouhani

Rouhani mengatakan bahawa Syiah dan Sunni perlu mengenepikan ilusi mereka terhadap sesama sendiri.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata pada hari Sabtu lepas bahawa dunia Islam pada hari ini memerlukan persahabatan dan persatuan di antara Sunni dan Syiah.

Presiden Rouhani dipetik berkata demikian ketika memberi ucapan kepada rakyat Iran yang menetap di Malaysia. Beliau juga menambah bahawa kedua-dua pihak juga perlu mengenepikan sebarang bentuk ilusi terhadap sesama sendiri.

"Kami tidak mahu mensyiahkan sesiapapun dan kami tidak mahu menerapkan revolusi kami (ke atas sesiapapun)," tambah beliau.

Rouhani melawat Malaysia di dalam rangka lawatannya ke negara-negara Asia Tenggara. Beliau juga sebelumnya menyampaikan hasrat Tehran kepada kerajaan dan rakyat Malaysia secara keseluruhan untuk membina hubungan baik di antara kedua-dua buah negara.

Di kesempatan lain, beliau juga berkata bahawa Iran menghasilkan beberapa produk yang Malaysia perlukan.

Rouhani telah melawat Vietnam pada 5 Oktober lepas sebelum datang ke Malaysia.